Hafizh Kekal Di Moto2 Musim Depan

Advertisements

Hafizh Syahrin akan terus kekal beraksi di saingan Moto2 bagi musim 2021.

Perkara itu disahkan sendiri pengurus Hafizh, Razmin Masli yang mendedahkan pihaknya telah pun selesai perbincangan dengan sebuah pasukan berpangkalan di Eropah.

Menurut Razmin, pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat.

“Kami akan umumkan dalam masa terdekat. Saya berharap dengan ini, Hafizh akan terus bersemangat untuk menamatkan baki tiga pusingan musim ini,” jelasnya.

Bagaimanapun, Razmin tidak mendedahkan sama ada perbincangan dengan pasukan Eropah tersebut turut menyaksikan pelumba berusia 26 tahun itu akan dibayar gaji.

Pastinya segalanya akan didedahkan dalam masa terdekat.

Pelumba negara itu kehilangan tempatnya di Aspar Team musim depan tatkala pasukan itu menaik taraf Albert Arenas dari Moto3.

Arenas yang ketika ini mendahului kejuaraan kelas ketiga itu akan digandingkan dengan Aron Canet bagi 2021.

Hafizh mempunyai baki tiga pusingan – dua di Valencia dan satu aksi terakhir Litar Ricardo Tormo – sebelum musim 2020 bersama Aspar Team berakhir. – Bernama