Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 Hantui Pemandu Mabuk Bermula 23 Oktober

Advertisements

Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 akan mula dikuatkuasakan pada 23 Oktober (esok).

Perkara itu disahkan sendiri Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, yang akan membawa hukuman lebih berat bagi kesalahan jalan raya khususnya membabitkan Seksyen 41 hingga 45.

* Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong

“Kami berharap pindaan ini akan meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya untuk mematuhi undang-undang,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Pindaan Seksyen 41 menyaksikan memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kematian akan dikenakan hukuman penjara 5 hingga 10 tahun dengan denda di antara RM20,000 hingga RM50,000.

Seksyen 44 pula menyaksikan kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan hingga menyebabkan kematian akan dikenakan penjara di antara 10 hingga 15 tahun serta denda di antara RM50,000 hingga RM100,000 selain hilang kelayakan memandu untuk 10 tahun bagi kesalahan pertama.

Manakala kesalahan kedua membawa kepada hukuman penjara 15 hingga 20 tahun dengan denda tidak kurang dari RM100,000 dan tidak lebih RM150,000 di samping hilang kelayakan lesen untuk tempoh 20 tahun.

Pindaan 2020 terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 sebelum ini dilaksanakan selepas berlakunya beberapa kemalangan terutamanya mengaitkan pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah hingga menyebabkan kematian.

Terbaru, seorang pemandu wanita berusia 23 tahun dijatuhkan hukuman penjara 6 tahun dan denda RM8,000 susulan menyebabkan kematian tentera ekoran memandu di bawah pengaruh dadah.