Baru-baru ini, tular imej ‘spyshot’ yang memaparkan jentera Harley-Davidson hasil kerjasama dengan Qianjiang Motor (QJMotor).
Imej intipan tersebut bagaimanapun hanya memaparkan bahagian sisi kanan jentera dengan nama 338R dan lencana Harley-Davidson ditayangkan.
Bagaimanapun, rekaan 338R kini tampil lebih jelas menerusi imej paten yang telah difailkan kepada China’s National Intellectual Property Administration pada Disember tahun lalu.
Difahamkan, Harley-Davidson telah dinamakan sebagai pemegang hak rekaan tersebut.
Paten itu mendedahkan rekaan keseluruhan 338R yang seakan disuntik dengan elemn flat track.
Meskipun mengguna pakai enjin dan kerangka sama dengan QJ350 namun jelas terdapat perbezaan ketara.
Jika dibandingkan, 338R menampilkan tempat duduk yang lebih rendah terutamanya bagi penunggang dan pillion dengan tangki turut kelihatan lebih kurus namun dengan kapasiti yang besar seperti jentera QJ lain.
Bahagian lampu depan LED pula datang dengan bentuk bulat termasuk panel meter yang dijangka hadir dalam bentuk digital TFT dan diposisikan di sebelah kiri seperti Ducati Scrambler.
Meskipun tidak dapat dipastikan bila jentera ini akan dipasarkan namun dijangka Harley-Davidson 338R ini akan hadir sekitar tahun 2021.