Progam Pembangunan Gazoo Racing Cungkil Pelumba Masa Depan Negara

Advertisements

UMW Toyota Motor Sdn Bhd mengumumkan Program Pembangunan Bakat Muda Gazoo Racing dalam usaha mengasah bakat muda negara di antara umur 14 hingga 20 tahun.

Memfokuskan pada pelumba yang sedang transisi daripada perlumbaan go-kart kepada perlumbaan kereta saloon, program ini telah pun merekrut enam bakat baharu yang akan menerima latihan sebelum diberi peluang beraksi di Musim 4, Toyota Vios Challenge.

Enam pelumba tersebut merangkumi Mika Hakimi dan Amer Harris (17 tahun), Naquib Azlan (20 tahun), Jwan Hii (18 tahun), Putera Adam (14 tahun) dan Troy Eimann (16 tahun).

Menurut Ketua Pegawai Permotoran Gazoo Racing Malaysia, Akio Takeyama, menyifatkan Toyota Vios Challenge tak pernah gagal mencuri perhatian pelumba muda.

“Antara kejayaan utama Toyota Vios Challenge adalah bukan sahaja menarik pelumba muda malah memberi mereka peluang untuk beraksi di samping pelumba berpengalaman.

“Ketika Musim 3 Toyota Vios Challenge, kami sedar terdapat banyak penyertaan daripada pelumba muda sekaligus menjadikan perlumbaan ini platform terbaik dalam mengasah bakat.

“Kejayaan Hayden Haikal – yang baru berusia 16 tahun – untuk menjuarai kategori Sporting Class sementara Bradley Benedict Anthony, 18 tahun, yang mendapat tempat kedua mengesahkan perkara itu,” jelasnya.

Sementara itu, Takeyama menjelaskan semua enam pelumba akan menjalani latihan intensif di dalam dan luar litar dengan pemantauan rapi tenaga pengajar di Sekolah Gazoo Racing bermula bulan ini.

Para peserta juga perlu memenuhi syarat bagi mendapatkan lesen pertandingan kebangsaan oleh Persatuan Permotoran Malaysia (MAM).