Naza Italia melancarkan Ferrari SF90 Stradale sempena pembukaan rasmi pusat pameran Ferarri Petaling Jaya, hari ini.
Ferrari SF90 Stradale merupakan model sulung pengeluar kereta Itali itu yang menawarkan Plug-in Hybrid Electric.
Model ini dilengkapi dengan enjin V8 turbo yang menjana 769hp termasuk tiga motor elektrik MGUK (Motor Generator Unit, Kinetic) yang menghasilkan tambahan 216hp sekaligus menawarkan keseluruhan 985hp!
Segala kuasa itu kemudiannya disalurkan menerusi penggunaan transmisi 8-kelajuan klac berkembar yang kini 35 peratus lebih cekap berbanding transmisi 7-kelajuan sebelum ini.
Menariknya, nama SF90 tersebut hadir menerusi ulang tahun ke-90 pertubuhan Scuderia Ferrari manakala Stradale merupakan terjemahan bagi ‘jalan’dalam bahasa Itali.
Gabungan dua elemen ini adalah signifikan bagi SF90 Stradale dalam mencerminkan DNA litar lumba Ferrari ke dalam sebuah kereta untuk jalan raya.
Ferrari SF90 Stradale ini juga merupakan kereta sport pertama Ferrari yang didatangkan dengan ciri 4WD, dalam usaha memastikan kuasa dihasilkan motor elektrik benar-benar dieksploitasi.
Model ini mampu melakukan 0-100km/j dalam masa 2.5 saat dan 0-200km/j hanya memakan masa 6.7 saat.
Dinamik pemanduan juga dipertingkat menerusi gandar depan elektrik sepenuhnya yang dikenali sebagai RAC-e (electronic cornering set-upp regulator).
Lebih mengagumkan, bahagian stering juga didatangkan dengan pad sesentuh (touchpad) yang membolehkan pemandu mengawal segal aspek jentera dengan mudah dan efisien dengan hanya menggunakan ibu jari.
Ferrari SF90 Stradale ini ditawarkan pada harga RM1,908,000.
Orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut boleh layari SF90stradale.com.
Dalam perkembangan sama, pelancaran model ini terus seiring dengan pembukaan pusat pameran Ferrari yang telah dinaik taraf.
Pusat pameran itu kini diberi nafas baharu dengan perbelanjaan lebih RM3.5 juta bagi mencerminkan identiti korporat baharu Ferrari sekaligus menjadikan Ferrari Petaling Jaya merupakan pusat pameran pertama di Asia Tenggara yang mengenakan konsep baharu ini.
Pusat pameran ini menempatkan bangunan dua tingkat dengan keluasan 11,900 kaki persegi dan mampu memuatkan tujuh kereta pada satu masa.