MotoGP: ‘Protege’ Valentino Rossi Ungguli Aksi Di Misano

Advertisements

Pelumba Petronas SRT, Franco Morbidelli, merekodkan kemenangan sulung di kelas premier MotoGP apabila mengungguli Litar Misano, hari ini.

Pelumba Itali itu, yang memualakan aksi di petak ke-2 bingkas merampas kedudukan pertama sebaik perlumbaan bermula dan mengekalkan dominasi sehingga ke lap terakhir dengan catatan masa 42 minit 02.272 saat.

Ini merupakan kejayaan pertama Morbidelli dalam kelas premier dalam tahun keduanya bersama Petronas SRT.

Sementara itu, wakil Pramac Ducati, Francesco Bagnaia yang terlepas beberapa pusingan ekoran kecederaan menampilkan tunggangan mantap untuk menduduki tempat kedua dengan catatan masa 42′ 04.489s.

Bagnaia yang bermula di petak ke-6 gagal mempertahankan kedudukan sebaik perlumbaan bermula namun kembali memintas satu demi satu pelumba termasuk rakan sepasukan Jack Miller untuk menduduki tempat kedua.

Joan Mir pintas Rossi di lap terakhir

Tempat ketiga jadi milik wakil Suzuki Ecstar, Joan Mir, yang berjaya memintas Valentino Rossi (Monster Energy Yamaha) ketika di lap terakhir.

Fabio Quartararo terbabas di Turn 4

Sementara itu, Fabio Quartararo hilang status selaku pendahulu kejuaraan apabila gagal menamatkan perlumbaan setelah dua kali mengalami kemalangan di Turn 4 dan Turn 6.

Pelumba Ducati, Andrea Dovizioso kini mendahului kejuaraan dengan 76 mata – 1 mata dihadapan Quartararo – manakala Miller ketiga dengan 63 mata diikuti Mir dengan 60 mata.

Menariknya, Valentino Rossi yang suatu ketika berada di kedudukan kedua, boleh meluahkan rasa bangga apabila menyaksikan bekas protege Akademi Rider VR46, Morbidelli dan Bagnaia melengkapkan podium satu dua.

Pelumba berusia 42 tahun itu turut mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pelumba itu sebaik perlumbaan berakhir.

Morbidelli merupakan protege pertama Rossi di usia 13 tahun dan ketika Akademi Rider VR46 ditubuhkan, Morbidelli merupakan ahli pertama pada 2013.