Aksi MotoGP akan kembali hujung minggu ini di Misano dengan KTM merancang meneruskan rentak positif setelah merekodkan kemenangan di GP Styria menerusi Miguel Oliviera.
Bagaimanapun, Oliviera bingkas memberi penghargaan kepada pelumba uji, Dani Pedrosa dalam membantu menghasilkan jentera RC16 yang mantap bagi musim 2020.
Perkara itu turut diakui pesaing lain di kem kelas premier.
“Mereka telah melangkah kedepan, terutamanya sejak ketibaan Dani (Pedrosa) .
“Dia telah melaksanakan tugas yang baik menguji jentera KTM dan saya yakin dia antara punca utama KTM kini memiliki jentera yang mampu membawa mereka muncul juara,” jelas Cal Crutchlow yang pernah bekerjasama dengan pelumba itu ketika di Honda.
Oliviera (KTM Tech3) muncul pelumba KTM kedua musim ini untuk memenangi pusingan MotoGP selepas Brad Binder (Red Bull KTM) di Brno.
“Jentera ini menampakkan kemajuan ketara berbanding musim lepas. Dani (Pedrosa) telah memberi input penting dalam pembangunan jentera ini.
“RC16 ini lebih mudah untuk dijinakkan. Tunggangan lebih lancar dan seakan menyamai gaya Dani. Kerja kerasnya membuahkan hasil,” kata Oliviera.
Sementara itu, kejayaan tiga kali naik podium musim ini bermakna KTM kini telah hilang konsesi teknikal sekaligus menghadkan jumlah litar yang dibenarkan untuk diuji Pedrosa dan Mika Kallio bagi musim 2021.
Bagaimanapun, bagi musim 2020, Pedrosa dan Kallio bebas menguji RC16 di sebarang litar tanpa sekatan.
Baru-baru ini, Pedrosa sertai pelumba uji Ducati, Michele Pirro dan Lorenzo Savadori (Aprilia) bagi sesi ujian di Misano.