Wajarkah Kenderaan Elektrik Mudah Alih Dibenarkan Guna Jalan Raya Awam?

Baru-baru ini tular rakaman video yang memaparkan seorang individu lelaki bergerak di jalan raya awam menggunakan sebuah unicycle elektrik.

Rakaman video tersebut turut mencuri tumpuan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang memuat naik video itu di laman Facebook miliknya.

https://www.facebook.com/wksbmenglish/videos/230555441724865

Beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap penggunaan kenderaan mikromobiliti ini di jalan raya awam yang bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah orang lain.

“Ini bukan sebarang basikal kerana ianya merbahaya lebih-lebih lagi untuk digunakan di atas jalan raya. Ia perlu dikawal sebelum berlakunya kemalangan bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi juga kepada pengguna jalan raya lain.

“Isu keselamatan orang ramai terutamanya pengguna jalan raya lain, kerana tiadanya perlindungan insurans.

“Jika berlaku kemalangan, individu yang berkenaan akan menghadapi masalah kewangan. Bagi pengguna lain, mereka pula yang terpaksa keluarkan duit sendiri atau membuat tuntutan insurans sendiri bagi tujuan membaiki kenderaan atau untuk perlindungan kesihatan mereka,” jelasnya.

Perkongsian Dr Wee Ka Siong di Facebook juga selaras dengan RUU Pengangkutan Jalan (pindaan) 2020 dalam usaha mengawal selia semua jenis kenderaan di samping mengetatkan undang-undang terhadap salah laku di jalan raya.

“Setelah RUU Pengangkutan Jalan (pindaan) 2020 diwartakan dan menjadi undang-undang, Kementerian Pengangkutan akan mengelaskan jenis-jenis kenderaan di bawah kategori mikromobiliti ini.

“Mana yang wajar dilesen dan didaftarkan, akan diwajibkan berbuat demikian. Mana-mana jenis yang dari segi keselamatan tidak sesuai digunakan secara bercampuran di atas jalan raya, akan dihalang daripada digunakan atas dasar keselamatan dan kepentingan pengguna jalan raya yang lain,” tambahnya.

Meskipun kenderaan mikromobiliti digunakan secara meluas di sesetengah negara luar namun bukan bermakna resepi sama boleh diterapkan di Malaysia.

Walaupun ada yang bermodalkan ‘dapat mengurangkan jumlah motosikal dan kereta’ di Malaysia dalam usaha menghalalkan penggunaan kenderaan mikromobiliti, namun hakikatnya pertambahan kenderaan pelbagai jenis akan memberi impak negatif terhadap keselamatan pengguna jalan raya lain.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]