Ketika GP Austria berlangsung sengit di Litar Red Bull Ring, Marc Marquez hanya mampu melibatkan diri sebagai penonton tatkala dia masih dalam proses pemulihan.
Kini, pengurus pasukan Honda, Alberto Puig mengesahkan Marquez akan mengambil masa sehingga tiga bulan untuk kembali beraksi bersama jentera RC213V.
Marquez kemalangan ketika di GP Sepanyol, 19 Julai lalu dan mengalami kecederaan di bahagian lengan kanan sehingga terpaksa dimasukkan plat titanium.
Dia kemudiannya cuba kembali di GP Andalucia namun terpaksa menarik diri ketika sesi kelayakan sebelum disahkan terpaksa menjalani pembedahan kedua tatkala plat titanium tersebut didapati rosak.
“Terdapat banyak perbincangan mengenai Marquez tetapi daripada pembedahan kedua lagi fokus kami adalah untuk dia kembali pulih 100 peratus.
“Kami enggan tergesa-gesa untuk dia kembali, selepas Marquez kembali barulah kami akan merencana langkah seterusnya,” jelas Puig.
Ketiadaan Marquez untuk tempoh 3 bulan itu sekaligus beri bayangan dia tidak cukup masa untuk mempertahankan kejuaraan musim ini.
Aksi MotoGP bersambung minggu ini di GP Styria dengan Pol Espargaro bakal memulakan aksi di petak depan diikuti Takaaki Nakagami sementara Johann Zarco yang merekodkan masa ketiga terpantas terpaksa bermula di pit.