Pengeluar motosikal di China semakin rancak memperkenalkan beberapa jentera baharu untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
Baru-baru ini, Benelli menayangkan beberapa model dibina Zhejiang Qianjiang di China antaranya QJ SRK600 dan QJ1200.
Pasaran motosikal China akan terus rancak apabila Benda Motorcycle, pengeluar motosikal negara itu bakal memperkenalkan crusier 700cc menerusi BD700.
Perkara itu disahkan menerusi paten baharu yang difailkan syarikat motosikal terbabit.
Jentera ini dianggap sebagai revolusi baharu motosikal jenama China tatkala rata-rata jenama lain menggunakan enjin ‘twin-cylinder’ (silinder berkembar), BD700 didatangkan dengan enjin empat-inline – ketika ini hanya ditawarkan motosikal 600cc daripada Benelli.
Berdasarkan paten yang difailkan, saluran ekzos ditempatkan di bahagian bawah sementara radiator besar berada di belakang tayar depan.
Sementara itu, rekaan keseluruhan tampak seakan diinspirasikan daripada Ducati Diavel dengan kedudukan ‘handle bar’ menawarkan tunggangan yang selesa.
Menarik untuk menyaksikan rupa sebenar jentera ini sebaik dihasilkan dalam masa terdekat.