5 Motosikal Yang Buat Dompet Menangis Tak Berlagu

Kita semua pernah alami situasi ini, lepak di kedai mamak lewat malam, pesan lima ais kosong dan satu roti petak – sebab kononnya kalau pesan roti canai mesti yang dipanaskan daripada minggu lepas.

Ketika sedang khusyuk ‘squad battle’ sementara kawan disebelah sibuk tumpang layan – disebabkan kuota internet dia dah habis – tiba-tiba si polan memulakan satu topik perbincangan.

“Kalau korang ada duit lah kan, motor apa yang korang nak beli?”

Saat itu, masing-masing mula membetulkan tempat duduk dalam percubaan membuat analisis paling terhebat abad ini.

Mokhtar membuka persidangan meja plastik dengan jentera pertama diikuti Soh, Santokh, Hassan dan Zainal.

  1. BMW HP4 Race kata Mokhtar

BMW Motorrad memperkenalkan HP4 Race sekitar tahun 2017 dengan harga sekitar RM520,000 sekaligus muncul antara motosikal paling mahal di pasaran tempatan dan dunia.

Dibina khas untuk kegunaan di litar sahaja (track legal), BMW mendakwa jentera ini merupakan model paling eksklusif pernah dihasilkan pengeluar Jerman itu dan menawarkan 215hp dan 121Nm. Menariknya, model ini hanya menggunakan RON98 ke atas.

  1. Aprilia RSV4 FW-GP kata Soh

Tak diperkenalkan untuk pasaran tempatan tetapi Aprilia RSV4 FW-GP ini ditawarkan pada harga USD83,000 (RM354,200). Menariknya, dengan setiap pembelian jentera 250hp ini, Aprilia menawarkan penghantaran ke rumah di samping beberapa ‘jajan’ lain antaranya, racing suit dan paddock pass ke MotoGP!

  1. ARCH KRGT-1 kata Santokh

Apakah persamaan di antara filem Speed, The Matrix dan John Wick? Ketiga-tiganya filem ikonik lakonan Keanu Reeves yang juga pemilik syarikat ARCH Motorcycles.

Menggunakan enjin V-Twin 2,032cc, KRGT-1 ditawarkan pada harga USD85,000 (RM354,200)! Menariknya, ARCH membina KRGT-1 mengikut spesifikasi pelanggan sendiri.

  1. Kawasaki H2R kata Hassan

Meskipun tidak semahal barisan jentera yang diutarakan Mokhtar, Soh dan Santokh namun H2R menawarkan kuasa yang sangat tinggi, sekitar 326hp.

Dibina khas untuk kegunaan litar, H2R dilengkapi dengan sistem six-speed dog ring MotoGP dan ECU perlumbaan dan ditawarkan pada harga USD55,000 (RM234,712).

  1. Ducati Panigale Superleggera V4 kata Zainal

Enggan mengalah, Zainal mencadangkan Panigale Superleggera V4 yang lahir di kilang Borgo Panigale.

Terhad kepada 500 unit seluruh dunia, Panigale Superleggera V4 ini mampu menghasilkan 224hp pada 15,250rpm dan 118Nm pada 11,750rpm.

Dibuka untuk jualan, jentera ini ditawarkan pada harga USD100,000 (RM414,000) model ini didatangkan dengan penyerap hentakan Ohlins dengan spring titanium, brek Brembo Stylema R dan merekodkan 1 minit 52.45saat di litar Mugello.

Kemudian selesai sudah sesi meja bulat lima sekawan dengan waktu menghampiri Subuh dengan masing-masing mula buka dompet untuk membuat bayaran sebelum Zainal buka mulut, “Tong-tong boleh? Tak cukup RM2 ni,”.

Ikuti kami di YouTube dan Instagram!

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]