Pengendali Petronas SRT, Dato Razlan Razali mendedahkan perbincangan bersama juara dunia 9 kali, Valentino Rossi, tampak positif.
Rossi dicanang bakal sertai Petronas SRT bagi musim 2021 setelah tempatnya di pasukan Factory Yamaha diambil alih Fabio Quartararo musim depan.
Menurut Berita Harian, senario antara Rossi dan Petronas SRT akan diketahui sebelum perlumbaan musim ini kembali membuka tirai.
Rossi pada awalnya merancang menggunakan perlumbaan musim ini untuk menentukan hala tuju kariernya namun segalanya terbantut susulan pandemik Covid-19.
Meskipun begitu, dia kini hampir pasti mahu meneruskan aksi sehingga musim depan menggunakan jentera factory Yamaha M1, peluang yang hanya mampu ditawarkan Petronas SRT.
Razlan turut mendedahkan pihaknya akan membuat sidang video bersama Rossi bagi membincangkan jangkaan pasukan terhadap pelumba berusia 41 tahun itu sekiranya segala termeterai.
“Kita akan buat satu sidang video bersama Rossi nanti. Dia ingin tahu apakah jangkaan pasukan terhadapnya… bukan kerana dia terpaksa atau kita perlu mengambilnya. Sekiranya musim ini berlangsung dengan baik, kita mungkin tidak melihatnya sebagai pilihan,”jelas Razlan.
Sebelum ini, Razlan turut menegaskan bahawa dia enggan Rossi menganggap Petrona SRT sebagai medan persaraan sebaliknya memberi saingan terhadap kejuaraan dunia.
Jangan lupa ikuti kami di YouTube dan Instagram!
SUMBER: Berita Harian