Menteri Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menjelaskan bahawa terdapat kekeliruan apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan 1 hingga 3 Mei sebagai kebenaran pergerakan.
“Sebenarnya, apa yang saya sebutkan sehingga 1 Mei merujuk kepada tempoh pendaftaran menerusi aplikasi Gerak Malaysia.
“Siapa yang tiada aplikasi tersebut bleh mendaftar di balai polis terdekat,” jelasnya ketika sesi sidang media harian di Putrajaya, hari ini.
Ismail Sabri turut menjelaskan bahawa selepas 1 Mei, pihak kerajaan memerlukan masa untuk mengumpul maklumat dan berbincang bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan PDRM.
Menurutnya, kebenaran untuk pergerakan antara negeri perlu diteliti terlebih dahulu dengan dibawa ke mesyuarat khas MKN yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pendaftaran menerusi Gerak Malaysia boleh dilakukan bermula 29 April ini hingga 1 Mei dan arahan seterusnya akan diumumkan kemudian.
Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, pergerakan antara negeri tidak dibenarkan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.
Jangan lupa ikuti kami di YouTube dan Instagram!