Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengenal pasti pasangan suami isteri yang menjadi viral di laman sosial gara-gara berkongsi tips untuk melepasi sekatan jalan raya sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengesahkan bahawa tindakan akan dikenakan terhadap pasangan tersebut ekoran ingkar PKP.
“Semalam tular di media sosial sebuah keluarga sudah balik ke Kuala Lumpur dan berkongsi tip bagaimana untuk menipu polis.
“Jangan berbangga apabila melakukan kesalahan dan mempengaruhi orang ramai untuk mengikut kesalahan sama.
“Mereka sendiri mengakui telah ingkar PKP,” jelas Ismail Sabri.
Pasangan tersebut berkongsi tip elak ditahan pihak berkuasa dengan memberi alasan hendak membawa anak ke hospital.
PKP telah pun memasuki Fasa 3 bermula 15 April lalu dengan kerajaan menegaskan pihak berkuasa tidak lagi akan memfokuskan kompaun RM1,000 bagi pesalah ingkar PKP sebaliknya akan menahan dan dihadapkan ke mahkamah.
Jangan lupa ikuti kami di YouTube dan Instagram!