Ducati Malaysia PJ menjadi viral semalam tatkala tular gambar yang memaparkan beberapa jentera Ducati ditenggelami air.
Difahamkan, insiden tersebut berlaku susulan hujan lebat yang melanda di sebelah petang yang menyebabkan aliran longkang tersumbat lalu menyebabkan air melimpah.
Berdasarkan gambar yang tular, jelas kelihatan antara jentera yang ditenggelami air melibatkan Ducati Panigale, Multistrada dan Monster.
Kami di MotoMalaya berjaya mendapatkan penjelasan Next Bike Sdn Bhd – selaku pengedar Ducati di Malaysia – mengenai situasi tersebut.
“Pihak pengurusan Next Bike Sdn Bhd sedar akan banjir kilat yang melanda Ducati Malaysia PJ. Kami beri jaminan bahawa tiada kecederaan dilaporkan dana kejadian itu sedang dikawal.
“Kepentingan pelanggan, kakitangan dan orang awam tetap menjadi keutamaan kami meskipun diwaktu kejadian seperti ini.
“Kami telah memaklumkan kepada para pelanggan bahawa jentera mereka selamat,” jelas Pengurus Besar Next Bike Sdn Bhd, Dennis Michael.
Pelanggan yang berasa bimbang boleh menarik nafas lega atas jaminan yang diberikan Ducati PJ.
Sementara itu, bagi jentera yang ditenggelami air, kami yakin mekanik di pusat servis Ducati PJ mampu melakukan magis dalam memastikan setiap bahagian berfungsi seperti sedia kala dengan menggantikan bahagian elektronik yang terkesan.
Jangan lupa ikuti kami di YouTube dan Instagram!