Razlan Razali Ucap Selamat Tinggal, Azhan CEO Baharu SIC

Azhan Shafriman Hanif kini bertindak selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menggantikan Dato Razlan Razali.

Razlan membuat keputusan untuk memberikan fokus sepenuhnya terhadap Petronas Sepang Racing Team di MotoGP selepas lebih 11 tahun berkhidmat selaku CEO SIC.

Dalam tempoh tersebut, Razlan berjaya mengangkat nama Malaysia ke persada sukan permotoran dunia menerusi penganjuran Formula 1 dan MotoGP serta beberapa acara perlumbaan lain yang bertaraf dunia.

“Mengetuai pasukan SIC merupakan perjalanan yang mengagumkan. Kami telah merekodkan pelbagai pencapaian sebagai satu pasukan. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan SIC dan CEO baharu,” ujar Razlan.

Azhan bukan individu asing dalam pentas sukan permotoran tatkala memegang jawatan selaku pengelola perikatan strategik dalam Jabatan Penjenamaan PETRONAS.

Dia juga memiliki portfolio selaku jurutera mekanikal – dalam sains bahan dan pengeluaran – serta telah pun bersama PETRONAS lebih 13 tahun.

Sementara itu, Azhan mengetuai unit penajaan PETRONAS untuk arena permotoran lebih sedekad sekaligus meletakkan dirinya sebagai antara individu paling berpengalaman dalam penajaan sukan permotoran dan kerjasama strategik bagi sukan dua dan empat roda termasuk MotoGP, Formula 1 dan Cub Prix.

“Tugas ini merupakan satu penghargaan. Dato Razlan telah meninggalkan legasi yang besar tetapi saya percaya mampu menawarkan perspektif unik selepas beberapa tahun bersama PETRONAS,” jelas Azhan.

Jangan lupa ikuti kami di YouTube dan Instagram!

VIDEO HARI INI

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply