Juara dunia Formula 1, Lewis Hamilton menyuarakan rasa terkilan tatkala Formula 1 masih berjalan seperti biasa meskipun acara sukan besar lain telah pun dibatalkan.
Susulan kebimbangan penularan wabak Covid-19, rata-rata acara sukan besar telah pun dibatalkan atau ditunda antaranya MotoGP dan NBA.
Malah, beberapa negara turut membatalkan sebarang acara yang melibatkan lebih 1,000 pengunjung.
Bagaimanapun, Formula 1 masih diteruskan dan situasi itu mencetuskan tanda tanya bagi Hamilton sendiri yang kini berada di Australia sebagai persediaan menghadapai GP Australia.
“Saya terkilan kami berada disini. Saya terkejut yang kami berada dalam bilik ini ketika ini,” apabila ditanyakan sama ada dia selesa untuk beraksi.
“Hari ini, (Presiden Amerika Syarikat) Donald Trump menutup sempadan daripada negara Eropah. NBA juga digantung (apabila pemain Utah Jazz, Rudy Gobert didapati positif Covid-19).
“Tetapi F1 masih berjalan seperti biasa. Jadi sudah tentu saya tidak berasa selesa,” jelasnya.
Ditanyakan apakah punca sukan permotoran terbesar dunia itu diteruskan, Hamilton menjawab “Mungkin sebab ‘cash is king’,”katanya.
Penganjuran F1 mencetuskan persoalan tatkala lima pegawai telah pun didapati positif Covid-19 dan senario itu membuatkan Hamilton agak kecewa.
“Saya rasa tidak perlu berselindung disebalik pendapat saya. Saya cuma boleh berharap peminat yang hadir untuk berjaga-jaga dan sentiasa membawa hand sanitizer,” tambahnya.
(SUMBER: motorsport.com)
Jangan lupa ikuti kami di YouTube dan Instagram!