Antara benda wajib ada dalam kereta masa kini adalah botol air tetapi ramai yang tidak sedar kehadiran botol tersebut mampu menyebabkan kemalangan jiwa.
Baru-baru ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi laman Facebook Polis Daerah Pendang menjelaskan bagaimana tindakan meletakkan botol air secara sesuka hati di dalam kereta sangat membahayakan.
Setiap kereta mempunyai tempat letak air sama ada di bahagian centre console atau di bahagian sisi pintu bagaimanapun, rata-rata menggunakan ruang yang ada untuk meletakkan benda lain.
Senario ini menyebabkan pemandu membuat pilihan untuk meletakkan botol air di ruang tempat letak kaki atau lantai.
Bagaimanapun, tindakan itu boleh membawa maut seandainya dalam keadaan kereta hilang kawalan dan botol bergolek ke bahagian bawah pedal brek.
“Saya perasan, ada diantara kita yang meletakkan botol tersebut di bawah kerusi sama ada di bawah kerusi pemandu ataupun di bawah kerusi penumpang.
“Perbuatan tersebut adalah salah satu perbuatan yang paling berbahaya. Jika kenderaan mula hilang kawalan, botol tersebut, sama ada yang bersaiz 250 ml atau 1.5 liter, atau pun lain-lain bekas minuman boleh tersangkut di bawah pedal brek.
“Tak kira bagaimana kuat sekalipun anda pijak pedal brek tersebut, ianya tidak membantu kerana tekanan yang amat tinggi diperlukan untuk membuatkan botol tersebut pecah,” menurut perkongsian terbabit.
Pada masa sama, perkongsian tersebut turut mengingatkan orang ramai yang tidak mempunyai ruang tempat letak yang mencukupi untuk membeli ‘cup holder’ tambahan.