MotoGP: Apa Nasib ‘Protege’ Valentino Rossi Bagi Musim 2020?

Franco Morbidelli

Ketika Dato’ Razlan Razali merekrut Franco Morbidelli bagi pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), dia dilihat sebagai masa depan baharu MotoGP dan Yamaha.

Bagaimanapun, ketika tahun 2019 sepatutnya menjadi milik Morbidelli, sebaliknya yang berlaku apabila pelumba berusia 25 tahun itu tenggelam di sebalik bayang-bayang rakan sepasukan, Fabio Quartararo, yang lima tahun lebih muda.

Fabio Quartararo

Meskipun mendapat jentera YZR-M1 dengan spesifikasi kelas A berbanding kelas B yang diguna pakai Quartararo, Morbidelli gagal memberi saingan malah dibezakan 77 mata dengan rakan sepasukannya di akhir musim 2019.

Quartararo merekodkan tujuh podium dan enam petak pertama di samping menamatkan musim lalu dikedudukan kelima keseluruhan.

Pernah diangkat sebagai ‘pengganti’ Valentino Rossi, lagenda MotoGP itu turut melabelkan Morbidelli sebagai protege yang mampu menggugat kedudukannya musim lalu.

Valentino Rossi

“Dia menunjukkan aksi yang mantap ketika penampilan pertama bersama jentera Yamaha. Saya yakin tahun depan dia mampu memberi saingan.

“Dia cukup gemar dengan Yamaha, kerana jentera ini mesra penunggang,” katanya dalam satu temubual bersama Autosport pada 2018.

Memasuki tahun 2020, tugas berat menanti Morbidelli apatah lagi Quartararo disahkan akan ke pasukan factory Yamaha bergandingan dengan Maverick Vinales pada 2021.

Persoalannya, apakah nasib Morbidelli?

Jika Rossi membuat keputusan untuk bersara hujung musim 2020 bersama Yamaha, kedudukan Morbidelli di Petronas SRT mungkin terselamat namun jika Rossi memutuskan untuk kekal semusim lagi di MotoGP, Petronas Yamaha SRT menjadi destinasi paling relevan.

Luca Marini

Tambahan pula, terdapat desas-desus Luca Marini daripada SKY Racing Team VR46 Moto2 mungkin akan ke Petronas Yamaha bagi musim 2021.

Tidak hairan jika bagi 2021, Petronas Yamaha mempertaruhkan Rossi-Marini.

Melainkan, Morbidelli membuka diari 2020 dengan prestasi meyakinkan sepertimana dilakukan Quartararo musim lalu.

Peluang pertama Morbidelli akan hadir ketika ujian pra-musim rasmi MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang pada 7 hingga 9 Februari ini.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.