Jenama motosikal yang pernah terkenal pada suatu ketika, Cagiva, akan kembali semula dengan memperkenalkan beberapa jentera baharu.
Bagaimanapun, Cagiva akan dilahirkan semula sebagai syarikat motosikal elektrik seperti yang dilaporkan electrek.co.
Ditubuhkan pada 1978, Cagiva menempah nama selaku pengeluar motosikal Itali yang popular namun beberapa kali melalui penstrukturan semula sebelum menjadi anak syarikat milik MV Agusta.
Tahun 2012 merupakan tahun akhir Cagiva menghasilkan model baharu.
Sementara itu, MV Agusta sendiri turut bergelut dengan masalah kewangan namun kembali stabil dibawah pimpinan Presiden Timur Sardarov.
Tatkala masa depan MV Agusta tampak positif, mereka kini bercadang untuk melibatkan diri dalam penghasilan motosikal elektrik dan berniat menghidupakan jenama Cagiva sebagai pelopor utama syarikat dalam arena itu.
Difahamkan, Cagiva akan memperkenalkan jentera elektrik baharu dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Baru-baru ini, Sardarov mendedahkan pihaknya akan menjalinkan kerjasama dengan syarikat berpangkalan di China, Loncin, dalam menghasilkan jentera MV Agusta 350cc.
Pada masa sama, Loncin turut memperkenalkan sebuah jentera elektrik, VOGE ER 10 yang diperkenalkan kepada umum di EICMA 2019.
Mungkin kerjasama ini sedikit sebanyak akan menyumbang kepada penghasilan jentera elektrik oleh Cagiva? Kongsikan pendapat anda.
(SUMBER: electrek.co)