Yamaha mengesahkan pelumba muda Perancis, Fabio Quartararo, akan digandingkan bersama Maverick Vinales bermula musim 2021, menggantikan Valentino Rossi.
Perkara itu disahkan sendiri pengurus pasukan Yamaha, Lin Jarvis.
“Kami teruja kerana Fabio (Quartararo) akan menyertai Yamaha Factory Racing MotoGP bagi musim 2021 hingga 2022.
“Keputusan yang dilakar dalam musim pertamanya di MotoGP cukup memberangsangkan. Enam petak pertama dan tujuh podium bagi musim 2019 membuktikan kemampuannya dalam berlumba.
“Menjemputnya untuk sertai Yamaha Factory Racing Team selepas kontraknya tamat bersama Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) merupakan langkah relevan,” jelasnya.
Difahamkan, Yamaha akan memberi bantuan sepenuhnya terhadap Quartararo bermula musim 2020 menerusi jentera Yamaha M1 terkini serta sokongan lain.
“Dia baru berusia 20 tahun tetapi sudah memaparkan kematangan di atas dan luar litar.
“Fabio (Quartararo) dan Maverick (Vinales) akan menyuntik semangat baharu dalam pasukan Yamaha Factory Racing Team terutamanya dalam membangunkan YZR-M1 sekaligus menghadirkan kejuaraan dunia MotoGP,” tambah Jarvis.
(SUMBER: Motorsport.com)