Bersara Atau Sertai Petronas Yamaha Antara Pilihan Valentino Rossi

Advertisements
Sumber: Valeyellow46 @ Instagram

Setelah Yamaha mengumumkan keputusan untuk menggantikan Valentino Rossi dengan Fabio Quartararo pada 2021, pelumba Itali itu kini perlu membuat keputusan mengenai masa depannya.

Bagaimanapun, lagenda MotoGP itu hanya akan membuat keputusan mengenai masa depannya di arena perlumbaan pertengahan musim 2020.

Pelumba berusia 40 tahun itu – yang telah merekodkan 89 kemenangan dan tujuh kejuaraan dunia – gagal melakar kemenangan sejak 2017 dan hanya menamatkan musim 2019 di kedudukan ketujuh keseluruhan.

Meskipun Yamaha telah mengikat kontrak lanjutan dua tahun bersama Maverick Vinales sehingg 2022 dan mendapatkan khidmat Quartararo bermula 2021, Rossi menegaskan dia masih belum sedia membuat sebarang keputusan.

Dia kini mempunyai dua pilihan, sama ada membuat keputusan untuk bersara atau beralih ke pasukan satelit, Petronas Yamaha.

“Selepas beberapa perubahan teknikal termasuk ketibaan ketua kru baharu, sasaran saya tahun ini adalah kembali menjadi kompetitif dan meneruskan karier saya selaku pelumba MotoGP.

“Bagaimanapun, saya perlu mencari jawapan dengan beraksi dalam beberapa perlumbaan sebelum membuat keputusan,” jelas Rossi.

Yamaha dalam satu kenyataan berkata, “Sekiranya Rossi membuat keputusan untuk terus berlumba pada 2021, kami beri jaminan dia akan mendapat jentera YZR-M1 dan sokongan penuh kejuruteraan Yamaha Motor Co. Ltd.”

Rossi bakal memulakan ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang pada 7 hingga 9 Februari ini.