Akhirnya, selepas dua tahun mengumumkan bakal menjalinkan kerjasama, Bajaj Auto dan Triumph Motorcycle memeteraikan perjanjian pada 24 Januari lalu.
Perjanjian terbabit menyaksikan Bajaj akan mengambil alih pengedaran Triumph di India dan akan memperkenalkan jenama Britain itu di pasaran dunia lain.
Bagaimanapun, tumpuan utama terarah kepada penghasilan jentera segmen 200 hingga 750 cc dengan model pertama dijangka akan diperkenalkan seawal 2022.
Triumph mendakwa, model hasil kerjasama dengan Bajaj itu menawarkan harga mampu milik serendah USD2,800 (RM11,383) dan akan turut akan dipasarkan di Eropah dan Amerika Utara.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Triumph Motorcycle, Nick Bloor, menyifatkan kerjasama ini sebagai langkah yang mengujakan.
“Kerjasama ini cukup penting buat Triumph dan saya teruja segalanya telah rasmi. Kerjasama ini akan membawa jenama kami ke segmen baharu dan produk yang akan diperkenalkan nanti akan membantu menarik perhatian generasi muda terutamanya bagi pasaran Asia Tenggara,” jelasnya dalam satu kenyataan.