Pengarah Urusan Bajaj Auto, Rajiv Bajaj, mengesahkan pengeluar motosikal India itu akan memperkenalkan Dominar 250.
Model baharu itu merupakan varian lebih kecil berbanding Dominar D400 sedia ada dalam pasaran.
Pendedahan itu dibuat kepada The Hindu Business Line baru-baru ini dengan Rajiv Bajaj mendedahkan model serba baru itu akan diperkenalkan seawal bulan depan di India.
Menurutnya, langkah ini bagi membuka peluang kepada lebih ramai pelanggan untuk memiliki Dominar.
Difahamkan, enjin Dominar 250 ini datangnya daripada KTM Duke 250 dan masih mengguna pakai fork depan USD daripada versi 400.
Bagaimanapun, Dominar 250 dijangka didatangkan dengan swingarm serba baru.
Sementara itu, tiada maklumat rasmi sama ada model ini akan diperkenalkan di Malaysia namun dengan pasaran 200cc hingga 250cc cukup popular bukan kejutan sekiranya Bajaj menerusi kerjasama Modenas membuat keputusan untuk membawa masuk Dominar 250 dalam masa terdekat.