Anggap Avintia Pasukan Kerdil, Zarco Mohon Maaf

Tatkala ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang semakin hampir, pelumba MotoGP, Johann Zarco membuat permohonan maaf terhadap pasukan baharunya, Avintia Ducati.

Zarco membuat kenyataan tersebut sebelum ditawarkan slot selaku pelumba bagi musim 2020.

Dia turut menegaskan lebih sanggup turun ke Moto2 daripada menyertai Avintia yang dianggapnya sebagai pasukan kerdil.

Pelumba Perancis itu bakal beraksi berbekalkan enjin Desmosedici musim lalu namun dengan sokongan Ducati yang telah menaik taraf status Avintia selaku pasukan satelit.

Bagaimanapun, Zarco menyifatkan komitmen Ducati untuk membantu Avintia mengubah pandangannya terhadap pasukan itu.

“Penglibatan Ducati menghilangkan kebimbangan saya. Meskipun membawa nama Avintia namun kami tahu ini adalah pasukan Ducati.

“Saya bercakap dengan Avintia, dan memohon maaf namun mereka akui dengan situasi mereka ketika itu tidak hairan tiada pelumba mahu sertai kami,” jelas Zarco.

Pada masa sama, Zarco yakin dia mampu merebut slot di pasukan factory Ducati.

“Saya perlu mendapatkan keputusan cemerlang dan menewaskan pelumba mereka untuk dipertimbangkan sebagai calon,” tambahnya.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]