Honda Lancar Tiga Model Baharu, Hanya RM198,800 Untuk CBR1000RR-R SP

Selepas dipertontonkan buat julung kalinya hujung tahun lalu di Litar Antarabangsa Sepang, Honda CBR1000RR-R kini dengan dirasminya dilancarkan di Malaysia!

Boon Siew Honda turut melancarkan dua model tumpuan lain, Honda CRF1100L Africa Twin dan Africa Twin Adventure Sports serta Honda GL1800 Gold Wing.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Keiichi Yasuda menyifatkan pelancaran ketiga-tiga model ini membuktikan pasaran Malaysia sebagai yang pertama memperlihatkan model ini di benua Asia dan Oceania.

Honda CBR1000RR-R SP 2020

Diinspirasikan daripada jentera MotoGP RC213V-S, Honda CBR1000RR-R SP ternyata membawakan aura berbeza bagi generasi baharu CBR.

Model baharu ini didatangkan dengan enjin serba baharu terutamanya dengan input program HRC MotoGP dan mampu menjana 213hp pada 14,500rpm dan 112.7Nm pada 12,500rpm.

Versi SP ini turut dilengkapi sistem ekzos Akrapovic yang menggunakan sepenuhnya bahan titanium. Akrapovic turut mereka ‘valve’ ekzos bagi memastikan ekzos terbabit menyumbang prestasi yang optimum.

Antara ciri menarik lain:

  • Ohlins Electronic Control (S-EC) generasi kedua
  • fork Ohlins NPX 43mm
  • kaliper brek Brembo Stylema – yang sama terdapat pada RC213V-S
  • master cylinder Brembo
  • Rear lift control
  • ABS
  • Honda Selectable Torque Control (HSTC)
  • Start Mode
  • Quickshifter
  • Inertial Measurement Unit (IMU) Bosch enam axis

Model baharu ini turut memiliki kerangka aluminium serba baharu termasuk bahagian swingarm sekaligus memastikan tunggangan lebih mantap.

Honda CBR1000RR-R SP kini ditawarkan dengan harga RM198,800.

Honda CRF1100L Africa Twin dan Africa Twin Adventure Sports 2020

Kurang beberapa bulan sejak diperkenalkan hujung tahun lalu, Africa Twin versi 2020 kini mendarat di Malaysia.

Jentera adventure Honda ini mengalami revolusi terbesar tatkala tampil dengan pelbagai ciri teknologi tertinggi sekaligus membuktikan komitmen Honda dalam menyaingi segmen motosikal adventure!

CRF1100L Africa Twin kini tampil 5 kilogram  lebih ringan berbanding model sebelumnya sementara kapasiti enjin turut dipertingkat bagi menawarkan kuasa dan tork lebih tinggi.

Tampil lebih kurus dan kompak, model baharu ini kini lebih tangkas dan berkuasa hasil dari enjin yang kini menjana 7 peratus lebih kuasa kuda (100hp pada 7,500rpm – 105Nm pada 6,250rpm).

Kini, sistem IMU enam axis bukan sahaja mengawal Honda Selectable Torque Control (HSTC) 7-level malah turut koordinasikan:

  • Wheelie Control 3-level
  • Cornering ABS
  • Rear lift Control
  • DCT cornering
  • 4 mod tunggangan – Urban, Tour, Gravel dan Offroad

Sementara itu, versi Adventure Sports berkongsi kerangka, enjin dan tempat duduk ergonomik yang sama tetapi menawarkan keselesaan lebih baik bagi tunggangan harian dan jarak jauh.

Model ini didatangkan dengan tangki yang lebih besar – 24.8L sekaligus menawarkan tunggangan jarak jauh lebih 500km.

Jentera ini turut dilengkapi dengan penghadang angin lebih tinggi dengan ketinggian skrin boleh laras.

Sistem penyerap hentakan depan dan belakang turut dipertingkat dengan Showa EERA yang boleh dilaraskan mengikut tetapan soft, mid, hard dan off-road.

Berikut senarai harga CRF1100L Africa Twin mengikut varian:

  • CRF1100L Africa Twin – Manual (RM98,888)
  • CRF1100L Africa Twin Adventure Sports – Manual (RM111,888)
  • CRF1100L Africa Twin Adventure Sports – DCT (RM117,888)

Honda GL1800 Gold Wing 2020

Boon Siew Honda turut memperkenalkan jentera pilihan ‘abah-abah’ dan papa rock, Honda GL1800 Gold Wing 2020!

Jentera unik ini kini dipertingkat dengan sistem penyerap hentakan dan tunggangan yang lebih dinamik.

Enjin enam silinder (flat-6) ini menghasilkan 124hp pada 5,500rpm dan 170Nm pada 4,500rpm sekaligus menawarkan kuasa optimum ketika RPM rendah.

Empat mod tunggangan – Tour, Sport, Econ, Rain – dengan sistem Throttle by Wire (TBW) akan membenarkan penunggang merasai pengalaman tunggangan dengan lebih keyakinan dan selesa.

Antara ciri menarik lain:

  • HSTC
  • Integrated Starter Generator
  • Dual Clutch Transmission
  • Hill Start Assist (nasib baik ada)
  • fork depan ‘double wishbone – penyerap hentakan belakang Pro-Arm
  • ruang letak barang mampu memuatkan dua helmet full-face
  • paparan skrin TFT 7-inci
  • Apple CarPlay
  • Lampu LED, lampu fog
  • kawalan SMART KEY

Honda GL1800 Gold Wing boleh menjadi milik anda dengan RM208,800.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply