Setiap pasukan perlumbaan mengharapkan keajaiban berlaku di litar lumba, bagaimanapun, berbeza bagi Lynk & Co Cyan Racing Team yang mengharapkan hujan lebat turun di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Pengarah Urusan Geely Group Motorsport, Alexander Murdzevski Schedvin, mengakui pasukannya mengharapkan hujan lebat turun di litar esok bagi saingan terakhir kalendar FIA World Touring Car Cup (WTCR) sekaligus menyukarkan keadaan pasukan lain untuk mengutip mata.
“Saya harap esok hujan turun dengan lebat agar perlumbaan dibatalkan dan kami akan menjuarai kutipan mata pasukan.
“Ketika di Macau, kami singgah ke kuil terdekat dan minggu itu kami memenangi tiga perlumbaan.
“Sejak itu kami telah jadikan satu tradisi untuk ke kuil setiap venue perlumbaan agar mengharapkan nasib baik menimpa pasukan kami,” jelasnya.
Lynk & Co Cyan Racing Team ketika ini mendahului kejuaraan pasukan dengan kelebihan 65 mata berbanding pesaing terdekat, BRC Hyundai N Squadra Corse dengan 532 mata.
Meskipun baru setahun jagung dalam kalendar WTCR namun Lynk & Co Cyan Racing Team berjaya menempatkan diri dikalangan pasukan terbaik dengan mempertaruhkan Thed Bjork, Yvan Muller, Yann Ehlacher dan Andy Priaulx.
“Kami sangat berpuas hati dengan prestasi tahun pertama kami. Meskipun pasukan ini menggabungkan pelbagai unsur yang berbeza namun kami berjaya melakukan perkara yang boleh dianggap sebagai mustahil,” jelas Schedvin.
Pada masa sama, selaku pengeluar kereta, Schedvin yakin kejayaan Lynk & Co Cyan Racing Team di pentas WTCR dapat meningkatkan lagi penjualan kereta Lynk & CO O3+ – yang merupakan jentera digunakan di WTCR.
“Perlumbaan ini medan terbaik untuk menjual kereta O3+ dan cara paling efektif adalah dengan merekodkan kejuaraan pasukan,” tambahnya.