Baru-baru ini, pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman, melakar sejarah sebagai juara sulung kategori ASB1000 Asia Road Racing Championship (ARRC) 2019 di Buriram, Thailand.
Kategori Superbike julung kali dipertandingkan di ARRC tahun ini dan menyaksikan Azlan Shah muncul juara bersama pasukan ONEXOX TKRR SAG menggunakan jentera BMW S 1000 RR.
Perlumbaan di Buriram ternyata menghadirkan cabaran sengit tatkala merebut takhta dengan Zaqhwan Zaidi dan Broc Parkes.
Bagaimanapun, Azlan berjaya menamatkan aksi Perlumbaan 1 di tempat kedua sebelum memenangi Perlumbaan 2 sekaligus menoktahkan kedudukan selaku juara sulung ASB1000.
Meskipun mengukir nama selaku pemenang sulung kategori tersebut namun kejayaan pelumba berusia 35 tahun itu tidak digembar-gemburkan di media tempatan.
Senario itu sedikit sebanyak membuatkan Azlan berkongsi kekecewaan di laman Facebook miliknya.
Diharapkan kejayaan Azlan Shah tidak diketepikan kerana seperti atlet lain yang membawa nama negara di pentas dunia, Azlan Shah telah menggalas tugas mengharumkan nama negara berulang kali dan dia selayaknya menerima penghargaan terbaik.