Saya Tak Menyesal Tinggalkan KTM – Zarco

Sumber: johanzarco @ Twitter

Belum cukup 24 jam aksi terakhir MotoGP bagi kalendar 2019 berakhir di GP Valencia semalam, pelbagai drama mula terungkap terutamanya melibatkan kekosongan di kem Repsol Honda selepas Jorge Lorenzo mengumumkan persaraan, Khamis lalu.

Ketika Lorenzo mengumumkan keputusan tersebut, timbul desas-desus tempatnya akan diisi bekas pelumba KTM, Johann Zarco.

Bagaimanapun, kini timbul dakwaan bahawa juara dunia Moto2 musim ini, Alex Marquez dicanang sebagai calon utama.

Zarco memiliki peluang cerah untuk kekal di MotoGP bersama Avintia Ducati yang dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmatnya namun pelumba berusia 29 tahun itu menegaskan dia lebih sanggup turun ke Moto2 berbanding menyertai pasukan baharu selepas apa yang menimpanya di KTM musim ini.

Sementara itu, seandainya Alex Marquez berhijrah ke Repsol Honda, Zarco berpeluang menggantikan tempatnya di Marc VDS sekaligus mencabar kejuaraan Moto2 musim depan.

Dalam pada itu, Zarco menegaskan dia enggan membuat keputusan melulu sepertimana yang menimpanya ketika menyertai KTM.

“Saya tidak menyesal selepas membuat keputusan untuk meninggalkan KTM malah berasa lega perkara itu berlaku.

“Sebaliknya saya dapat merasai jentera baharu bersama Lucio Cecchinello di LCR Honda.

“Saya meninggalkan KTM dengan cara yang ‘gentleman’, saya bersikap jujur kepada KTM bahawa saya enggan bersama mereka memasuki musim 2020,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, pelumba Aprilia Aleix Espargaro berpendapat Alex Marquez sebagai calon tepat menggantikan Lorenzo berbanding Zarco.

Dalam kenyataan menurut Crash.net, Espargarao mengatakan Zarco bukanlah pelumba yang layak mendapat jentera Repsol Honda selepas apa yang berlaku dengan KTM.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]