Zarco Idam Kerusi Ditinggalkan Lorenzo

Susulan pengumuman persaraan mengejut Jorge Lorenzo semalam, Johann Zarco tampil mendedahkan dia mengimpikan peluang untuk sertai Repsol Honda musim depan.

Tiga kali juara dunia MotoGP, Lorenzo membuat keputusan untuk bersara dalam satu sesi sidang media tergempar semalam susulan aksi terumbang ambing musim ini.

Kegagalan menemui rentak di samping dipalit dengan kecederaan merencatkan karier pelumba berusia 32 tahun itu.

Bagaimanapun, keputusan pelumba Sepanyol itu bersara bermakna terdapat kekosongan di kem Repsol Honda sekaligus membangkitkan beberapa nama sebagai pengganti, antaranya Zarco.

Sejak meninggalkan Redbull KTM, Zarco kini berlumba dengan pasukan LCR Honda menggantikan Takaaki Nakagami yang sedang pulih dari kecederaan.

Bagaimanapun, masa depannya masih tidak diputuskan tatkala tiada kekosongan di saingan MotoGP bagi musim 2020 namun peluang kini terbuka untuk Zarco dengan persaraan Lorenzo.

“Saya enggan mengulas lanjut tentang persaraan Lorenzo tetapi ini merupakan petanda positif bagi saya tahun depan kerana ada kekosongan di MotoGP bagi musim 2020,” jelas Zarco menurut Crash.net.