Gara-Gara Anak Terlibat Basikal Lajak, Ibu Bapa Ditahan Polis

Sumber: Bernama

Pihak berkuasa telah menahan ibu bapa dan penjaga kepada enam kanak-kanak dan remaja yang terlibat menunggang basikal lajak di Ampang, Ahad lalu.

Menurut laporan Berita Harian, kanak-kanak termasuk seorang remaja berumur lingkungan 11 hingga 16 tahun turut dikenakan saman dengan basikal disita mengikut Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff mengesahkan bahawa ibu bapa ditahan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membiarkan anak-anak tanpa pengawasan.

Difahamkan, dua daripada kanak-kanak tersebut yang berusia 15 dan 16 tahun tidak bersekolah.

Mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001, ibu bapa dan penjaga kanak-kanak terbabit boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 dan penjara tiba lebih dua tahun seandainya didapati bersalah.

Kesemua ibu bapa dan penjaga telah pun dibebaskan dengan jaminan polis setelah diambil keterangan.

Baru-baru ini, isu basikal lajak kembali dihangatkan apabila Mahkamah Majistret Johor Bahru membebaskan Sam Ka Ting, 24 tahun atas tuduhan menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak dua tahun lalu.

Mahkamah membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie disamping mengambil kira beberapa fakta kejadian.

(SUMBER: Berita Harian)