Demikian kenyataan dibuat aktivis keselamatan jalan raya, Shahrim Tamrin, menurut laporan The Malaysian Insight.
Menurutnya, motosikal berkapasiti rendah terutamanya kapcai menjadi penyumbang kepada kemalangan dan menggesa kerajaan untuk membenarkan hanya skuter elektrik dengan kelajuan tidak melebihi 80km sejam di atas jalan raya.
“Negara lain seperti China dan Taiwan sudah haramkan motosikal kapcai,” katanya.
Hakikatnya, motosikal kapcai menjadi pilihan rakyat Malaysia tatkala menawarkan harga mampu milik berbanding motosikal dengan enjin bersesaran yang lebih besar.
Malah, harga bagi sebuah skuter juga agak tinggi apatah lagi jika jenis elektrik atau hibrid.
Bagaimanapun, Shahrim menjelaskan penggunaan skuter elektrik dapat mengelakkan daripada orang ramai menunggang dengan laju di samping lebih mesra alam.
Pada masa sama, Shahrim turut menyalahkan pengeluar motosikal ekoran menggalakkan budah berlumba.
“Walaupun pengeluar motosikal tidak promosi, remaja tetap akan ke kedai motosikal untuk diubah suai agar menjadi lebih laju,” tambahnya.
Gesaan Shahrim turut mendapat sokongan daripada Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Bakri Zainal Abidin.
Menariknya, berdasarkan statistik tahun lalu, kadar kemalangan melibatkan kereta lebih tinggi berbanding motosikal – 591,399 kereta dan 113,288 motosikal – namun angka kematian penunggang motosikal adalah lebih tinggi.
Bagaimanapun, data ini membuktikan bahawa pemandu kereta lebih cenderung untuk menyebabkan kemalangan berbanding motosikal.
Hakikatnya, penggunaan sebarang kenderaan dua roda menghadirkan peratusan kemalangan maut yang lebih tinggi ekoran tiadanya perlindungan seperti kenderaan empat roda.
Bagaimanapun, apa yang penting adalah menyuntik kesedaran terhadap pemandu dan penunggang tentang pemanduan dan tunggangan yang selamat.
Jadi wajarkah kerajaan mengharamkan motosikal bawah 250cc dengan alasan kadar kemalangan maut yang tinggi meskipun angka kemalangan dikalangan pemandu jauh lebih tinggi?
(SUMBER: The Malaysian Insight)