Jorge Lorenzo menafikan dia bakal meninggalkan pasukan MotoGP Honda sepertimana yang dilakukan Johann Zarco terhadap KTM.
Meskipun mengakui tidak gembira di Honda namun Lorenzo enggan membuat keputusan drastik seperti Zarco yang menamatkan kontrak dua tahun bersama KTM bulan lalu.
Zarco turut kehilangan tempatnya untuk baki saingan musim ini apabila digantikan dengan Mika Kallio.
Lorenzo turut mengalami nasib sama sejak menyertai Honda dengan tiga kali juara dunia itu gagal menamatkan kedudukan di kelompok 10 terbaik tahun ini tatkala bergelut dengan jentera RC213V.
Senario tersebut turut menimbulkan khabar angin bahawa dia bakal kembali ke Ducati bersama Pramac sebelum mengesahkan akan menghormati kontrak dua tahunnya bersama Honda.
Ketika aksi kelayakan GP Aragon semalam, Lorenzo sekadar menduduki tempat ke-20.
Menurut Autosport, Lorenzo berkata,”Hakikatnya saya tidak gembira dengan masa saya di sini berbanding ketika saya menjuarai perlumbaan bersama Yamaha atau tahun lalu ketika bersama Ducati.
“Tetapi ketika ini, saya tidak akan berputus asa.
“Saya ada kontrak dua tahun bersama Honda, buat masa ini saya akan cuba penuhi komitmen itu dan perbaiki aksi perlumbaan.”
Dalam perkembangan sama, Lorenzo menyifatkan Zarco membuat keputusan yang berani namun percaya tindakan itu mungkin akan memakan dirinya.
“Dia telah membuat keputusan yang berani, dan kita perlu menghormati keputusan itu. Tetapi sama ada tindakan itu bijak atau tidak. Saya tidak tahu,” tambah Lorenzo.
Perlumbaan GP Aragon akan berlangsung hari ini.