Hafizh Syahrin mengakui mula rasa bimbang tentang perancangannya bagi musim 2020.
Pelumba negara itu kehilangan tempat di saingan MotoGP musim depan apabila KTM Tech3 membuat keputusan membawa masuk Brad Binder untuk digandingkan dengan Miguel Oliviera.
Senario itu memaksa Hafizh untuk turun beraksi di kelas Moto2 bagaimanapun, menurut laporan Crash.net dia mengakui mula rasa gusar tatkala rata-rata slot telah pun diisi.
“Belum lagi!,” jawab Hafizh apabila ditanyakan tentang perancangannya musim depan.
“Sukar untuk berkata apa-apa ketika ini. Saya juga berasa bimbang, tak tahu ke mana destinasi saya selepas ini.
“Kemungkinan saya akan kekal di MotoGP, tetapi kita tunggu dan lihat keputusan selepas perbincangan hujung mingg ini,”tambahnya.
Keputusan mengejut oleh Johann Zarco untuk meninggalkan KTM hujung minggu ini bermakna masih ada kekosongan di KTM.
Bagaimanapun, Hafizh mendedahkan masih tiada perbincangan untuk kekal di Tech3 meskipun Miguel Oliveira beralih ke KTM.
(SUMBER: Crash.net)