Benelli telah mencatatkan peningkatan sebanyak 8.9 peratus bagi penjualan motosikal separuh pertama 2019 sekaligus beri bayangan mahu kembali perkukuhkan nama selaku pengeluar motosikal Itali tertua di dunia.
Benelli mungkin berdepan pelbagai cabaran untuk kembali memperkukuhkan jenama selaku pengeluar motosikal tertua di dunia namun mereka mampu menarik nafas lega apabila merekodkan penjualan memberangangkan ketika separuh pertama 2019.
Membuat kemunculan pertama sejak 1911, jenama Benelli hampir terkubur sebelum diselamatkan syarikat pengeluar motosikal China, Qianjiang Motorcycle.
Meskipun pembuatan keseluruhan tubuh Benelli kini dilakukan sepenuhnya di China namun DNA Benelli tetap diteruskan menerusi ibu pejabat yang terletak di Pesaro, Itali.
Kini jenama itu terbukti kembali mendapat kepercayaan peminat dua roda seluruh dunia apabila merekodkan penjualan sebanyak 43,137 unit bagi tahun 2018 berbanding hanya 10,000 unit terjual pada 2015.
Memasuki separuh pertama 2019, Benelli telah pun merekodkan penjualan lebih 23,578 unit.
Menariknya, angka ini disumbang oleh penjualan di benua Eropah terutamanya di Itali – yang sebelum ini lebih memandang jenama terkenal lain antaranya Ducati dan Aprilia.
Dalam perkembangan lain, Benelli turut akan memperkenalkan Benelli TNT 600 bagi mencabar pasaran yang didominasi Kawasaki Z650, Honda CBR650R dan Yamaha MT-07.
Benelli TNT 600 dijangka bakal membuat penampilan di EICMA, hujung tahun ini.
(SUMBER: VisorDown)