PLUS Malaysia Bhd telah memaklumkan bahawa hujung tahun ini, pengguna lebuhraya PLUS boleh membayar tol dengan menggunakan kad debit/kredit.
Menurut laporan Berita Harian, PLUS kini dalam proses untuk menambahbaik infrastruktur terutamanya plaza tol dengan tujuan menawarkan lebih banyak mod pembayaran kepada orang ramai.
Naik taraf ini membolehkan pengguna tidak perlu lagi bersusah payah ke kiosk atau kaunter tambah nilai jika baki tidak mencukupi.
Langkah ini turut dilihat dapat mengelakkan daripada insiden kereta cuba bergerak dalam keadaan melintang untuk pergi ke kaunter tambah nilai ekoran baki tidak mencukupi yang boleh membahayakan pemandu dan pengguna lain.
Sementara itu, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail menjelaskan bahawa proses naik taraf akan selesai hujung tahun ini dan pengguna boleh membuat pembayaran dengan menghubungkan kad debit/kredit atau sebarang aplikasi e-wallet ke RFID Plus.
Difahamkan, PLUS turut dalam proses untuk membenarkan pengguna membayar tol menggunakan e-wallet Touch N Go.
“Kesesakan di plaza tol berpunca daripada kaedah pembayaran di plaza tol dan tabiat pengguna yang sering terlupa untuk tambah nilai kad,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, PLUS sedang menaik taraf 1,400 kamera litar tertutup kepada jenis definisi tinggi ultra (UHD).
(SUMBER: Berita Harian)