GP Austria: Selekoh Terakhir Bawa Perbezaan Di Antara Dovizioso Dan Marquez

Sumber: MotoGP @ Twitter

Pelumba Ducati, Andrea Dozioso muncul juara di GP Austria selepas berjaya memintas pendahulu kejuaraan, Marc Marquez di selekoh terakhir.

Sementara pelumba Petronas Yamaha SRT, Fabio Quartararo, melengkapkan podium ditempat ketiga selepas berjaya mengetepikan cabaran wakil Yamaha, Valentino Rossi (keempat) dan Maverick Vinales (kelima).

Quartararo berjaya mendahului kelompok depan buat sementara waktu apabila Marquez dan Dovizioso tersasar di selekoh pertama namun mudah dipintas kedua-dua pelumba sejurus selepas itu.

Dovioso menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 39 minit 34.771 saat.

Sumber: MotoGP @ Twitter

Keputusan itu menandakan Red Bull Ring sebagai satu-satunya litar dalam kalendar MotoGP yang masih gagal ditawan Marquez.

Meskipun tidak tergolong dalam perebutan tempat pertama dan kedua, Quartararo menampilkan aksi konsisten sepanjang perlumbaan untuk merekodkan podium ketiganya musim ini.

Lebih manis, pelumba satelit Yamaha itu berjaya mengetepikan cabaran Rossi dan Vinales.

Marquez kini mendahului kejuaraan dengan 230 mata, 58 mata dihadapan Dovizioso diikuti Danilo Petruci ketiga dengan 136 mata.

Dalam perkembangan lain, Brad Binder berjaya merekodkan kemenangan manis buat KTM dalam aksi Moto2 setelah pengeluar motosikal Austria itu mengumumkan tidak lagi akan beraksi di segmen itu musim depan bagi memberi tumpuan kepada kelas premier.

Tempat kedua dan ketiga jadi milik Alex Marquez dan Jorge Navarro setelah Luca Marini dan Enea Bastini terlibat kemalangan dengan perlumbaan berbaki lima pusingan.

Aksi Moto3 pula menyaksikan pelumba VNE Snipers melengkapkan kemenangan satu dua menerusi Romano Fenati dan Tony Arbolino sementara wakil Petronas SRT, John McPhee melengkapkan podium dengan tempat ketiga.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.