Marc Marquez yang mengambil risiko dalam penggunaan tayar ketika sesi kelayakan di litar Brno semalam berjaya merekodkan petak pertama buat kali ke-58 sekaligus menyamai rekod disandang Mick Doohan.
Pelumba Repsol Honda itu memilih untuk menggunakan tayar jenis ‘slick’ meskipun hujan baharu sahaja berhenti dan berjaya mencatat masa 2 minit 02.753 saat – 2.524 saat lebih pantas berbanding Jack Miller daripada Pramac Ducati.
Sementara itu, pelumba Perancis, Johan Zarco – yang berjaya melepasi sesi kelayakan pertama buat julung kalinya musim ini – berjaya membawa pasukan KTM menduduki petak ketiga.
Dalam perkembangan sama, pencabar terdekat Marquez, Andrea Dovizioso (Ducati) yang ketinggalan 58 mata di belakang, bakal bermula di petak keempat.