Pelumba off-road negara, Gabit, berjaya memastikan kejuaraan GIVI Rimba Raid kekal di Malaysia selepas berjaya menjuarai kategori Kelas A di Rimba Valley Motocamp, Janda Baik, semalam.
Kelas A menyaksikan 85 pelumba memulakan saingan bagi merebut status Raja Off-Road dengan pelumba negara, Muhamad Habibullah Mohd Saleh (Gabit) dan pelumba Rali Dakar, Jeremias Israel paling mencuri tumpuan.
Jeremias – bekas National Champion dan pelumba Factory Honda Dakar Rally – dilihat sebagai pencabar utama kepada Gabit bermula garang sebaik perlumbaan bermula dengan jentera Triumph Scrambler 1200.
Bagaimanapun, ketika perlumbaan memasuki peringkat akhir, Jeremias terpaksa menarik diri daripada menamatkan perlumbaan apabila berlaku insiden tidak diingini yang sekaligus memberi kesan terhadap prestasinya.
Sementara Gabit – bersama jentera KTM 1050 – yang disuntik dengan sokongan penyokong tempatan, berjaya menamatkan saingan dengan catatan masa 48 minit 40.440 saat.
Lebih manis, tempat kedua dan ketiga turut diungguli pelumba tempatan menerusi Wong Chun Hing dan Wong Chun Fah dengan masing-masing menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 50 minit 37.796 saat dan 1 jam 19 minit 16.837 saat.
Kecemerlangan pelumba tempatan turut diteruskan di Kelas B apabila Shamsul Azhar Abu Hazim muncul juara dengan jentera AJP PR7.
Shamsul menamatkan perlumbaan dengan catatan 1 jam 4 minit 31.145 saat diikuti Wan Nor Fahmy Wan Nashar dengan 1 jam 12 minit 44.916 saat dan Iskandar Rabu dari Singapura, ketiga dengan 1 jam 36 minit 56.130 saat.
Kelas B turut menyaksikan separuh daripada 20 pelumba gagal menamatkan perlumbaan.
Sementara itu, Kelas C menyaksikan dominasi dua beradik apabila Muhammad Hazlami dan Muhammad Hazzim menyempurnakan kedudukan satu dua dengan catatan masa 56 minit 55.504 saat dan 57 minit 28.840 saat.
Tempat ketiga jadi milik Muhamat Hairy Muhamat Omar Zuki dengan catatan masa 59 minit 9.042 saat.
Seramai 146 penyertaan direkodkan tahun ini berbanding 105 tahun lalu di Mat Daling sekaligus membuktikan GIVI Rimba Raid semakin mendapat tempat di hati penggemar sukan ‘off-road’ dalam dan luar negara sementara penyertaan Jeremias mengukuhkan lagi nama Rimba Raid di persada antarabangsa.
Hari kedua bakal menyaksikan pelumba merebut kejuaraan kategori Enduro yang akan berlangsung jam 9 pagi hari ini.