Senario penuh misteri berlaku di litar Nurburging, Jerman apabila kelibat dua kereta jenis Mazda RX-8 kelihatan menjalani sesi ujian baru-baru ini.
Tahun 2012 merupakan tahun akhir bagi model RX-8 – yang menggunakan enjin ‘rotary’. Sejak daripada itu, Mazda kekal berdiam diri dengan perkembangan enjin ikonik tersebut.
Bagaimanapun, berdasarkan paten yang didedahkan awal tahun ini mendapati Mazda masih giat meneruskan pembangunan enjin ‘rotary’.
Kini, sebuah video yang dimuat naik ke Youtube memaparkan dua buah model RX-8 – tujuh tahun selepas model tersebut diberhentikan – melakukan beberapa pusingan di Nurburging merumitkan lagi misteri yang masih gagal dirungkai.
Video tersebut didakwa dirakam ketika Hari Industri di mana yang pengeluar kereta diberikan akses kepada litar sekaligus mengesahkan bahawa Mazda sedang menguji model tersebut.
Bagaimanapun, persoalan utama timbul, mengapa Mazda menguji dua model lama?
Senario yang paling masuk akal ketika ini adalah Mazda sedang menguji enjin ‘rotary’ baharu yang telah berselindung di sebalik bonet depan dua model RX-8 itu.
Ketika ini Mazda masih mengunci mulut mengenai sebarang perkembangan enjin ‘rotary’ sekaligus peminat setia enjin tersebut hanya mampu berspekulasi.
Laporan mengenai penyambung legasi enjin ‘rotary’, RX-9 telah pun timbul sejak lapan tahun lalu namun sehingga kini masih tiada laporan susulan.
Namun, orang ramai boleh terus berharap berdasarkan sesi ujian dua model Mazda RX-8 ini.
Pada masa sama, jika Toyota kembali dengan Supra sementara terdapat ura-ura mengenai Mitsubishi Evo 11 dihasilkan, tidak hairan jika Mazda turut mengambil langkah sama dengan mengembalikan jentera ikonik itu.
(SUMBER: Motor1.com)