Media MalayMail hari ini memuat naik laporan khas mengenai keadaan laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan bagaimanapun, ruangan komen netizen turut mencuri perhatian.
Berdasarkan beberapa komen yang dikongsikan, ada yang berpendapat laluan motosikal bukan satu isu sebaliknya, penunggang motosikal yang harus dipertanggungjawabkan.
Berikut antara komen diutarakan:
“Ini bukan tentang laluan motosikal. Tak boleh ke penunggang motosikal hanya menggunakan laluan paling kiri terutamanya di lebuhraya LDP? Mereka gemar menyelinap diantara kenderaan lain dan ada segelintir mereka akan memarahi pemandu kereta jika kami cuba memintas”
“Penunggang motosikal menyusahkan orang ramai!”
Tidak dinafikan terdapat penunggang motosikal yang tidak menggunakan laluan motosikal disediakan namun pelbagai faktor memainkan peranan terhadap tindakan itu antaranya keadaan laluan disediakan tidak menjamin keselamatan penunggang.
Pada masa sama, rata-rata yang menggunakan laluan paling kiri adalah kenderaan besar antaranya bas dan lori yang turut boleh mengancam nyawa penunggang motosikal.
Semalam, pasangan suami isteri maut di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur lalu mencetuskan perdebatan di laman sosial mengenai status keselamatan laluan tersebut.
Difahamkan kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda CBR500R tidak sempat mengelak daripada kemalangan lain yang berlaku dihadapan mereka.
Dalam isu ini, sememangnya mudah untuk menuding jari kepada pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal yang dianggap sebagai ‘menyusahkan’ pemandu kereta.
Bagaimanapun, hakikatnya penunggang motosikal lebih berisiko untuk berdepan bahaya dengan statistik oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), mendedahkan seramai 4,348 kematian daripada 6,740 kemalangan pada 2017 membabitkan penunggang motosikal.
Diharapkan pihak berwajib dapat menyelesaikan isu laluan motosikal terutamanya di lebuhraya agar dapat menjamin keselamatan penunggang sekaligus tidak lagi dilabel sebagai entiti yang ‘menyusahkan’ oleh pemandu kereta lain.