Demikian kenyataan dibuat pengurus pasukan Yamaha MotoGP, Lin Jarvis mengenai masa depan pelumba veteran, Valentino Rossi yang kini telah mencecah usia empat dekad.
Kontrak Rossi bersama Yamaha akan berakhir pada 2020 namun dia gagal memenangi sebarang perlumbaan dalam tempoh dua tahun ini di samping sedang berdepan prestasi terumbang-ambing.
Rossi sekadar mengutip lapan mata dalam empat perlumbaan terakhir di samping tiga kali gagal menamatkan perlumbaan yang menyaksikan dia jatuh ke kedudukan keenam dalam carta kejuaraan dibelakang rakan sepasukan, Maverick Vinales.
Pelumba pasukan satellite Yamaha, Fabio Quartararo turut membayangi persembahan Rossi musim ini dengan mengungguli sesi kelayakan dan beberapa kali menaiki podium.
Menurut Motorsport.com, Jarvis tidak menafikan Rossi akan terus menyambung kontraknya bersama Yamaha namun mengakui juara dunia tujuh kali kelas premier itu tidak lagi mewakili masa depan pasukan itu.
“Valentino telah menghadiahkan kami empat kejuaraan sehingga 2010 – 2004,2005,2008 dan 2009 – jadi ketika dia berhijrah ke Ducati telah meninggalkan kesan yang besar pada kami sepertimana jika Marc Marquez meninggalkan Honda ketika ini.
“Dia (Rossi) kini berada di peringkat berbeza dalam hidup dan kariernya. Secara hormatnya, saya berasakan dia tidak lagi mewakili masa depan Yamaha dalam MotoGP.
“Ada kemungkinan dia akan terus bersama kami untuk satu atau dua tahun ini. Tetapi hubungan dua hala di antara Yamaha dan Rossi kini berbeza.
“Bukan berniat untuk mengatakan dia tidak lagi penting, tetapi fungsi dan watak dimainkan Rossi bersama Yamaha kini berbeza. Jadi saya harap dia akan terus menjadi duta Yamaha pada masa akan datang.”
Sementara itu, Jarvis berasakan sebarang keputusan mengenai persaraan Rossi akan ditentukan kedua-dua belah pihak.
“Keputusan akan datang selepas perbincangan di antara kedua-dua belah pihak. Apa yang pasti, saya yakin tidak akan berlaku sebarang konflik,” tambahnya.
(SUMBER: Motorsport.com)