Demam MotoGP kembali di Malaysia dengan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sekali lagi menerima kunjungan saingan MotoGP buat kali ke-20 pada 1 hingga 3 November ini.
Sempena dengan ulangtahun ke-20 MotoGP di Malaysia, SIC berazam untuk memberikan pengalaman terbaik kepada orang ramai dan pelumba yang bakal bertandang ke Sepang nanti.
Litar sepanjang 5.543 kilometer itu – yang lahir daripada buah fikiran Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1999 – kini telah pun menjadi antara tumpuan utama bagi sukan permotoran di rantau Asia Tenggara.
Litar Sepang berjaya melahirkan ramai pelumba tempatan bertaraf dunia bermula dengan Shahrol Yuzy, Zulfahmi Khairuddin, Adam Noordin dan Azlan Shah Kamaruzaman.
Jumlah pengunjung yang hadir turut menampakkan peningkatan mendadak sekaligus menyaksikan edisi MotoGP di Sepang tahun lalu merekodkan kunjungan lebih 169,827 penonton!
Acara tahun ini dijangka lebih hebat tatkala selaras dengan sambutan ulangtahun ke-70 MotoGP.
Pengerusi SIC, Tan Sri Azman Yahya menyifatkan pusingan MotoGP di Sepang tahun ini akan mengukir sejarah baharu.
“SIC amat berbesar hati kerana dapat menjadi saksi kepada sambutan ulangtahun ke-20 GP Malaysia dan ulangtahun ke-70 MotoGP.
“Kami telah bekerja keras selama 20 tahun ini bagi memastikan kualiti GP Malaysia berada di tahap tertinggi dan anugerah GP Terbaik bagi tahun 2012 dan 2017 merupakan bukti komitmen kami,” jelasnya.
Pada masa sama, tahun ini juga menyaksikan Shell kekal menjadi penaja utama GP Malaysia buat kali ke-10.
“Kami berbesar hati kerana mendapat penaja yang setiap seperti Shell yang telah bersama kami sejak 2009. Pelbagai kejayaan telah kami capai bersama-sama,” tambah Tan Sri Azman.
Terdahulu, SIC dan Shell Malaysia mengumumkan pelbagai aktiviti menarik menanti peminat MotoGP antaranya MalaysianGP Superfan Contest dengan pemenang akan mendapat dua tiket menyaksikan Shell Malaysia MotoGP di Sepang dengan pengalaman belakang tabir eksklusif!
Sementara itu, promosi Shell Biker Chop Chop yang telah pun berjalan sejak Jun lalu hingga Ogos menawarkan peluang untuk membeli tiket MotoGP Shell Hillstand dengan harga diskaun termasuk peluang untuk memenangi cenderamata rasmi Ducati. Untuk melayakan diri, orang ramai hanya perlu mengumpul setem digital menerusi aplikasi WeChat dengan membeli Shell Advance AX5, AX7 atau Ultra atau mengisi minyak bernilai RM6 ke atas dalam satu resit.
Bagi mereka yang tinggal di luar Kuala Lumpur, terutamanya di Kuantan, Pahang, Shell Malaysia bakal membawakan sesi siaran langsung MotoGP! Ikuti perkembangan lanjut di laman sosial Shell.
Menurut Tan Sri Azman lagi, harga tiket tahun ini kekal seperti tahun lalu bagaimanapun, terdapat cukai hiburan sebanyak 25 peratus dikenakan oleh kerajaan pusat.
“Saya mengesyorkan agar orang ramai untuk cepat mendapatkan tiket sebelum habis,” tambahnya.
Tiket boleh didapati di www.sepangcircuit.com.