BMW Motorrad Days 2019: BMW Perkenalkan Model Konsep X7 Pickup

Oktober tahun lalu, media automotif pernah berkongsikan beberapa gambar ‘render’ yang memaparkan sebuah jentera pikap keluaran BMW.

Bagaimanapun, model itu kini direalisasikan apabila pengeluar kereta mewah Jerman itu memperkenalkan model konsep, BMW X7 Pickup.

Model ini diperkenalkan pada BMW Motorrad Days (yang berlangsung kelmarin) sebagai projek yang pertama dan terakhir oleh pelatih vokasional BMW dengan kerjasama bahagian Concept Vehicle Construction and Model Technology di kilang BMW, Munich, Jerman.

Jentera ini menyaksikan BMW mengubah model SUV X7 kepada sebuah trak pikap dengan lima tempat duduk dengan ruang belakang berukuran 1.4 meter panjang – mampu dipanjangkan sehingga 2 meter jika lid belakang di buka.

BMW turut mendakwa mereka menggunakan bahan CFRP (gentian karbon diperkuat) yang lebih lasak dan ringan di bahagian bumbung, pintu belakang dan ruang kargo sekaligus mengurangkan berat sehingga 200 kilogram berbanding model SUV.

Ekoran BMW X7 Pickup dipertontonkan kepada orang ramai ketika pameran motosikal BMW, mereka turut memuat naik BMW F850 GS di bahagian belakang bagi membuktikan kesinambungan di antara BMW dan BMW Motorrad.

Difahamkan, BMW memakan masa sehingga 10 bulan untuk menghasilkan model ini. Pelatih telah mengambil model pandu uji SUV X7 dan diberikan kebebasan dalam proses pembinaan di samping mendapat bantuan pakar.

Malangnya, BMW menegaskan model ini tidak akan dihasilkan untuk pasaran dunia.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]