Apakah sebenarnya perlumbaan Pikes Peak? Demikian persoalan yang diajukan sehubungan dengan berita mengejut kematian Carlin Dunne ketika menunggang jentera prototaip Ducati Streetfighter V4 di perlumbaan Pikes Peak International Hill Climb (PPIHC), hari ini.
Bagi mereka yang mengikuti perkembangan perlumbaan ini, PPIHC merupakan antara perlumbaan paling sukar di dunia.
Pikes Peak merupakan puncak tertinggi di selatan Rocky Mountains, Colorado Springs yang terletak di Utara Amerika.
Perlumbaan PPIHC memasuki edisi ke-97 dan merupakan perlumbaan kedua tertua di Amerika Syarikat selepas Indianapolis 500.
Bagaimanapun, tidak seperti Indianapolis 500, PPIHC melibatkan semua jenis kenderaan dua roda dan empat roda dan kejuaraan ini tidak pernah gagal dianjurkan sejak 1916 – kecuali ketika AS terlibat dalam dua Perang Dunia.
Menariknya, tidak seperti perlumbaan lain yang mengutamakan kelajuan dan catatan masa terpantas, PPIHC akan mencabar ketahanan daripada aspek fizikal pelumba dan mekanikal jentera ekoran perubahan altitud – pelumba bermula di 9,390 kaki sebelum naik ke puncak yang berada pada 14,115 kaki dari paras laut.
Bukan itu sahaja, permukaan jalan di Pikes Peak dipenuhi batu dan tanah sebelum diturap pada 2011 – yang membuatkan jalan tersebut lebih bahaya susulan membuatkan pelumba untuk menunggang lebih laju di tambah dengan ketiadaan penghadang jalan sepertimana yang terdapat di lebuh raya.
PPIHC sememangnya litar idaman bagi pencinta motosikal yang tegar namun tidak seperti perlumbaan lain yang dianggap lebih ‘mainstream’, Pikes Peak mengundang cabaran dan bahaya yang berbeza.
Selain dari mendiang Carlin Dunne – yang merupakan pelumba yang menjadi fokus utama susulan dipertanggungjawabkan untuk menunggang prototaip Ducati Streetfighter V4, juara Isle of Man TT, Michael Dunlop turut dijadualkan untuk membuat penampilan namun menarik diri ekoran masalah kecederaan.