Carlin Dunne Maut, Kemalangan Dengan Jentera Prototaip Ducati Streetfighter V4

Insiden tragis berlaku di perlumbaan Pikes Peak International Hill Climb (PPIHC) apabila pelumba pasukan Ducati Team Spider, Carlin Dunne, yang dipertanggungjawabkan untuk menguji jentera prototaip Streetfighter V4, mengalami kemalangan maut 400 meter sebelum garisan penamat.

Dunne berjaya merekodkan masa terpantas ketika sesi kelayakan yang berlangsung pada Ahad.

Edisi ke-97 ‘Race To The Clouds’ menandakan tayangan perdana jentera prototaip Ducati Streetfighter V4. Ducati memilih litar PPIHC di Colorado, Amerika Syarikat sebagai medan untuk membuktikan kemampuan jentera tersebut.

Bagaimanapun, ketika perlumbaan berbaki 400 meter dengan Dunne mendahului perlumbaan, dia kemudiannya terbabit dengan kemalangan sebelum disahkan meninggal dunia.

“Sepanjang 97 tahun perlumbaan unik ini berlangsung, kami telah menyaksikan pelbagai kemenangan manis dan beberapa kekecewaan. Namun kini, kami berdepan kehilangan seorang pelumba yang kerana cintanya terhadap sukan ini membawa kepada Pikes Peak International Hill Climb.

“Carlin akan diingati sebagai pelumba dan mentor yang paling dihormati dalam keluarga Pikes Peak. Kami akan sentiasa mengingati senyuman dan cintanya terhadap sukan ini,” demikian kenyataan dikeluarkan Ahli Lembaga Pengarah PPIHC.

Carlin Dunne menjuarai PPIHC 2018 dengan jentera Ducati Multistrada 1260. Sumber: edhat.com

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ducati Amerika Utara, Jason Chinnock, turut meluahkan rasa dukacita.

“Tiada perkataan yang dapat menghuraikan kesedihan kami. Carlin merupakan keluarga Ducati dan antara individu yang paling baik pernah kami kenali. Pemergiannya meninggalkan kesan yang amat mendalam,” jelasnya.

Ducati memiliki rekod mengagumkan di PPIHC kerana pernah muncul juara bagi edisi 2008,2009,2010,2011,2012,2013,2014 dan 2018.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.