Berita gembira buat peminat jentera ‘mid range’ di Malaysia apabila Boon Siew Honda Malaysia memperkenalkan tiga model baharu dalam satu majlis pelancaran yang berlangsung di The Glasshouse, Seputeh, hari ini.
Tiga model baharu tersebut; CBR500R, CB500X dan CB500F dijangka akan menghangatkan lagi pasaran motosikal ‘mid range’ yang sering menjadi perhatian penggemar motosikal di Malaysia.
Ketiga-tiga model tersebut dihasilkan dengan enjin 471cc liquid cool parallel twin dengan 8 valve yang didakwa mampu mencerna 49hp pada 8,500rpm.
Menariknya, ketiga-tiga model dilengkapi dengan sistem ABS yang didatangkan secara standard.
Honda CBR500 kini tampil dengan rekaan lebih sporty sama dengan ‘abang besar’ CBR1000R. Sistem ekzos dinaiktaraf sekaligus meningkatkan kuasa tork sehingga 4 peratus.
Sementara itu, Honda turut menyifatkan rekaan serba baharu bagi Honda CB500F berdasarkan konsep jentera serba boleh.
Tampak garang namun mudah dijinakkan, CB500F seperti dua model lain didatangkan dengan assist & slipper clutch sekaligus memastikan tunggangan yang lebih selesa dan lancar.
Bagaimanapun, paling mencuri tumpuan adalah CB500X yang kini dilengkapi dengan tayar depan 19 inci berbanding 17 inci sebelum ini. Honda menyifatkan perubahan itu meningkatkan lagi pengawalan terutamanya di atas permukaan yang tidak rata.
Tempahan bagi Honda CB500X telah pun dibuka dengan proses penyerahan kepada pelanggan akan dilakukan pada hujung bulan ini sementara dua model lagi akan dipasarkan dalam masa terdekat.
Berikut senarai harga bagi ketiga-tiga model:
- CB500F – RM33,999
- CB500X – RM36,099
- CBR500R – RM34,499