Johan Zarco mengharapkan tugas Dani Pedrosa sebagai penguji jentera KTM dapat membantu dirinya untuk menyesuaikan diri dengan jentera RC16.
Zarco sekadar mengutip 10 mata setakat ini berbanding 38 mata yang dilakar rakan sepasukan, Pol Espargaro apabila bergelut untuk mendapat keserasian dengan jentera agresif KTM.
“Saya datang daripada Yamaha, jadi saya sudah biasa dengan corak tunggangan lancar di Tech3 Yamaha berbanding KTM yang lebih agresif.
“Saya rasa dua perbezaan ini jadi punca saya masih bergelut untuk menyesuaikan diri. Kadang-kala saya cuba memaksa diri untuk serasi tetapi sukar.
“Seperti saya, Dani juga seorang penunggang yang lancar tetapi dia tidak pernah menunggang jentera Yamaha seumur hidupnya. Sebab itu saya tidak sabar menanti pendapatnya setelah menguji jentera RC16. Saya nak tahu sama ada komen saya betul atau tidak,”ujar Zarco.
Zarco dan Pedrosa akan bersama-sama berada di atas litar bagi sesi ujian rasmi, Isnin ini dengan pelumba Sepanyol itu telah pun menjalani sesi ujian tertutup di Brno baru-baru ini.
Sementara itu, maklumbalas dariapda Pedrosa – juara 31 kali perlumbaan di MotoGP sebelum bersara di Valencia tahun lalu – telah meyakinkan Zarco untuk mencuba swingarm gentian karbon, hujung minggu ini.
“Saya akan mencuba swingarm baharu itu kerana Dani memaklumkan kepada kami bahawa keputusan amat positif. Kami juga pernah mencuba bahagian baharu itu di Jerez.
“Tetapi pada masa sama, kami juga perlu mencuba sesuatu yang baharu selain daripada swingarm,” tambah Zarco.