Ketua Pegawai Eksekutif KTM Industries AG, Stefan Pierer, meluahkan rasa teruja dengan penjualan jentera KTM di benua Eropah.
“Saya berasa amat terkejut. Pasaran Eropah sangat menakjubkan tahun ini,” ulas Pierer, yang menyaksikan penjualan KTM menignkat 10 peratus kepada 261,000 unit berbanding tahun lalu.
Meskipun pada awalnya berasa gusar dengan beberapa senario politik yang melanda benua itu terutamanya Brexit namun keadaan itu tidak menggugat peningkatan penjualan motosikal yang meningkat 21 peratus dalam suku pertama – dengan KTM mendahului pesaing lain.
Pierer menyifatkan data tersebut membuktikan peminat jentera dua roda di Eropah masih meletakkan keyakinan tinggi terhadap jenama KTM.
Sementara itu, Harley-Davidson yang mendominasi pasaran Amerika Utara, menyaksikan penurunan penjualan sebanyak 4.5 peratus dengan KTM merekodkan penurunan 1.1 peratus.
KTM – yang pada masa sama pemegang jenama Husqvarna – telah menggandakan penjualan unit tahunan dalam tempoh lima tahun ini.
Pierer menjangkakan KTM akan mencapai pertumbuhan pendapatan sekitar 1 hingga 5 peratus tahun ini dan tahun depan sebelum pengenalan model baharu yang dijangka akan meningkatkan lagi pertumbuhan kepada 10 peratus pada 2021.
Menjelang 2022, Pierer mensasarkan penjualan unit kepada 400,000 termasuk penjualan jentera KTM oleh rakan kongsi di India, Bajaj Auto Ltd.
Dalam perkembangan sama, Pierer mendedahkan bahawa KTM sedang mempercepatkan proses untuk mengambil alih Pexco, syarikat yang bertanggungjawab menghasilkan basikal dan motosikal elektrik menjelang 2021.
“Motosikal elektrik sedang berkembang pesat. Pasaran ini sedang meletup jadi kami sebagai pengeluar yang besar perlu berada dalam pasaran itu secepat mungkin,” tambahnya.
(SUMBER: Bloomberg)