KTM Tidak Akan Beralih Ke Chasis Aluminium, Pierer Kritik Ducati

Sumber: KTM Factory Racing @ Twitter

Ketua Pegawai Eksekutif KTM, Stefan Pierer menegaskan pihaknya tidak akan berputus asa dengan penggunaan rangka steel trellis di samping mengkritik tindakan Ducati yang tidak lagi menggunakan rekaan sama pada 2012.

Pengeluar motosikal Austria itu merupakan pasukan tunggal dalam saingan MotoGP musim ini nyang tidak menggunakan chasis aluminium twin-spar konvensional.

Ducati juga pernah menggunakan chasis rangka besi apabila mereka menyertai MotoGP pada 2003 dan berjaya muncul juara keseluruhan dengan pelumba, Casey Stoner.

Bagaimanapun, Ducati meninggalkan teknologi rangka besi pada 2009 dan beralih ke penggunaan ‘carbon-fibre’ sebelum bertukar ke chasis aluminium pada 2012 dengan harapan dapat mengurangkan kesukaran dihadapi pelumba, Valentino Rossi, ketika itu.

Meskipun ada desas-desus mengatakan KTM akan beralih ke rangka aluminium pada masa akan datang, Pierer bertegas KTM tidak akan berganjak daripada penggunaan rangka steel trellis.

“Jika kami mengikut jejak Ducati, kami akan tewas.

“Kami terlibat dengan MotoGP hanya kerana dua faktor, pertama, kami mahu terus berinovasi dan kedua, kami mahu meningkatkan penjualan motosikal KTM.

“Jentera MotoGP Ducati tidak ada sebarang kaitan dengan motosikal yang mereka jual di pasaran. Tengok sahaja pada statistik penjualan mereka – 53,000 unit dijual pada 2018 berbanding KTM, 261,000 unit.

“Motto saya ‘win on Sunday, sell on Monday!” tegas Pierer.

Pierer turut berkata penggunaan rangka steel trellis adalah punca utam KTM mendominasi sukan Supercross (5 kejuaraan) dan rali Dakar (18 kejuaraan).

“Kami mungkin memerlukan 10 tahun untuk berjaya tetapi saya yakin kami akan mendominasi MotoGP,”tambahnya.